Tuesday, August 20, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 463)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 57:

Lalai dari Zikrullah (Lupa kepada Allah)

=============================



Definisi-Definisi Penting

==================


Definisi Zikrullah

___________________


Dari segi bahasa :

Zikir berasal dari akar kata ( ذَكَرَ) 

yang bermaksud ingat, mengingat dalam hati, ungkapkan, menyebut,  meneliti, mengenal, merenung. 


Dari segi Istilah :

Pada sisi syara'  yang dikehendaki dengan Zikrullah adalah "Mengingat Allah dalam hati" atau "menyebut-nyebut Nama Allah dengan lisan (lidah) berserta ingatan dalam hati."



Definisi  غَفْلَة  (ghaflah)

________________________


Dari segi bahasa :

Ghaflah (غَفْلَة ) adalah bermaksud:  Lalai, tidak mengingati, lupa, lengah, cuai, abaikan, tidak peduli, biarkan terlantar, hilangnya sesuatu yang penting dari hati, keadaan yang menimpa hati seseorang disebabkan tiada kesedaran


Dari segi istilah :

Yang dimaksud dengan istilah _ghaflah_ pada sisi syara' adalah lalai dari mengingat Allah, lupa Zikrullah, lupa pada Allah, hilangnya Zikrullah dari hati,  hati dikuasai dunia, makhluq, nafsu, syaitan.



Penjelasan :

==========


(1) Menurut pendirian Ahlus Sunnah Wal Jama'ah yang benar (tulen), Zikrullah merupakan suatu Ibadah tersendiri yang wajib didirikan sepanjang hayat, siang dan malam, pagi dan petang, sendirian dan di dalam keramaian tanpa kecuali.


(2) Zikrullah yang wajib ditunaikan oleh setiap orang beriman adalah: Zikir di dalam hati.... iaitu berzikir Allah Allah Allah di dalam hati terus-menerus.  Ada pun zikir dengan lisan (lidah) adalah sangat dituntut sebagai "penguat" kepada zikir di dalam hati. 


(3) Zikrullah (Ingat Allah, sebut Nama Allah, tafakkurkan Nama Allah)  adalah sebesar-besar Ibadah.  Orang yang tekun mengerjakan ibadah zikrullah siang malam tanpa berhenti dengan penuh ikhlas dan menurut adab, hukum dan kaifiyyatnya, maka dia akan memperoleh  darjat kedudukan paling tinggi di Sisi Allah. 


(4) Masyaikh Ahlus Sunnah menetapkan bahawa hanya mereka yang kekal hatinya berzikir, akan dibukakan hatinya kepada Allah, memperoleh Tauhid yang suci murni.  Tanpa mengekalkan hati terus-menerus berzikir, tak mungkin seorang pun sampai kepada Allah (tidak mencapai Tauhid hakiki, Iman sejati).  Hatinya akan sentiasa bergelumang di dalam kesyirikan (syirik khafi). 


(5) Setiap ibadah yang dikerjakan dengan zikrullah (Ingat Allah) di dalamnya,  maka ibadah tersebut adalah ibadah yang benar-benar bersih, ibadah yang terlebih baik, sempurna yang memperoleh Redha Allah.  Ibadah yang tiada zikir di dalamnya adalah "kosong" dan "kerugian". 


(6) Ingatan Allah terhadap hamba-hamba-Nya yang zikrullah (Mengingat Allah) adalah lebih utama.  Ertinya Limpahan Rahmat dan Inayah (pertolongan Allah) terhadap hamba-hamba-Nya yang zikrullah adalah jauh lebih hebat dari ingatan hamba kepada Tuhannya.  Hamba cuma buat sedikit ibadah tetapi Allah Taala melimpahkan Rahmat yang banyak.


(7) Membanyakkan Zikrullah adalah tanda seorang Mukmin sedangkan orang yang malas berzikir atau sedikit berzikir merupakan tanda wujud tanda-tanda nifaq (munafiq) atau dia benar-benar orang munafiq kerana hanya orang munafiq berzikir di dalam keadaan malas. 


(8) Lalai dari Zikrullah (tidak berzikir, lupa kepada Allah, tidak ingat kepada Allah) adalah dosa besar yang membawa kepada berbagai dosa besar lain, bahkan membawa kepada kefasikan, kesesatan, kemunafikan atau kekufuran yang nyata.


(9) Sebahagian orang Islam awam menganggap lupa kepada Allah, tidak berzikir, lalai dari Zikrullah sebagai hal remeh dan tidak berdosa kerana menurut mereka "lalai dari ingat Allah" itu lumrah dan tak boleh dielakkan.  Pegangan ini benar-benar menentang Al-Qur'an, Hadith dan Ijma Ulama Ahlus Sunnah.


Bersambung siri 464 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 512) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...