Monday, July 22, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 409)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-54 : Memusuhi Auliya Allah

.....sambungan....



Wali Palsu dan Tanda-tandanya

=======================


Kepalsuan, kebatilan dan kesesatan akan sentiasa bertarung dengan kebenaran.  Iblis dan nafsu-nafsu jahat di dalam hati manusia akan sentiasa menentang kebenaran.  Kebenaran yang dibawa oleh Ahlus Sunnah yang benar akan sentiasa berhadapan dengan kepalsuan dan kebatilan 72 golongan batil dan sesat.


Sejak dahulu nama "Auliya Allah" sudah masyhur di kalangan Ummat Islam sebagai orang yang dimuliakan, disanjung tinggi dan diambil barakah daripada kelebihan-kelebihan yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada mereka. Dicelah-celah kebenaran dan kemuliaan hamba-hamba Allah ini, bangkit orang-orang tertentu yang salah gunakan "kemuliaan dan kemasyhuran Auliya Allah" untuk mencari kemasyhuran atau mengaut keuntungan duniawi untuk diri sendiri.  Mereka adalah wali palsu atau wali syaitan yang membawa kesesatan.  Wal Iyazubillah.


Tanda wali palsu 1: Menyalahi Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Ini adalah tanda paling umum.  Kita sudah bicarakan bahawa Auliya Allah adalah  Kekasih Allah yang beriman dan benar-benar bertaqwa.  Mereka adalah Pilihan Allah yang tetap berpegang teguh dengan Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ, zahir dan batin.  Dengan demikian setiap orang yang mengaku Wali Allah atau dimasyhurkan oleh pengikut-pengikutnya sebagai Wali Allah sedangkan mereka terang-terang menyalahi Syari'at dan peraturan serta adab-adab Toriqat Nabi ﷺ, maka dia bukanlah Auliya Allah sebaliknya dia wali Palsu atau wali Syaitan.


Tanda wali palsu 2: Melakukan pertapaan (Bertapa)

Setengah orang jahil yang ghairah menjadi Wali Allah dan mencapai karomah, melakukan amalan "bertapa" di bawah pokok-pokok atau tepi sungai atau lurah atau gunung yang dianggap mempunyai "keramat" (menurut pendapat mereka sendiri).  Amalan bertapa adalah tradisi sami-sami budha, hindu, kristian dan lain- lain, BUKAN amalan Islam. Menurut Ahlus Sunnah yang benar, mengasingkan diri dari urusan dunia dan pergaulan manusia beberapa waktu adalah dikatakan khilwah atau Suluk,  mencontohi Rasulullah ﷺ yang beribadah di Gua Hira sebelum Baginda di-Angkat oleh Allah menjadi Rasul.  


Tanda wali Palsu 3:  Tiada Mursyid memimpinnya

Sekalian masyaikh Ahlus Sunnah telah sepakat bahawa barangsiapa tidak ada Mursyid sebagai pemimpinnya, maka Iblis yang menjadi pemimpinnya. 


Tanda wali palsu ke-4: Mengaku dipimpin oleh Wali Songo atau Wali-wali lain

Dunia keruhanian adalah dunia yang sangat luas tak bertepi yang penuh misteri, berbagai makhluq halus, ruh jahat, jinn dan syaitan sentiasa menunggu untuk menarik manusia kepada kesesatan. Berdasarkan sejarah, ramai "alim, ahli ibadah, hafiz Qur'an dan lain- lain" menjadi korban Iblis — disesatkan oleh Iblis melalui penyamaran ini.


Berkata Imam Ghazali:

“Murid memerlukan seorang Mursyid atau guru keruhanian yang dapat diikutinya, agar dia menunjukkannya ke jalan yang lurus. (jalan benar yang di-Redhai Allah).  Jalan agama sangatlah samar, (tak dapat bezakan haq dan batil, benar atau salah) dan jalan-jalan syaitan sangat banyak dan jelas (terbuka luas untuk dimasuki oleh siapa sahaja).  Oleh kerana itu, jika seseorang yang tidak mempunyai Shaikh ( Mursyid )yang membimbingnya,maka pasti syaitan akan menggiringnya (memimpin dan memujuknya) menuju jalannya. 

[Ihya Ulumuddin Bab Ilmu]


Rumusan Penting:

Tujuan kami bentangkan hal ehwal Auliya Allah ini adalah supaya setiap Muslim sedar dan kenal Auliya Allah yang benar dan jangan sesekali memusuhi mereka.  Di samping itu hati-hati supaya tidak terjatuh ke dalam perangkap wali palsu dan batil.


Bersambung siri 410 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

 ■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 522) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...