■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 394)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-52 : Menyakiti Allah
....sambungan....
Contoh 4: Mengata Allah tidak Adil
Setengah wanita kematian suami, melemparkan kata-kata keji kepada Allah sebagai tidak Adil. Mereka tak boleh menerima Taqdir. Tidak syak lagi mereka adalah pelampau yang tak sedar diri. Mereka akan menerima mala petaka besar jika tidak segera Taubat dengan Taubat Nasuha.
Contoh 5: Berpegang bahawa Allah menetap atas Arasy
Segelintir golongan terpelajar (ustaz moden) mengatakan Allah duduk, menetap, bertahta di Arasy (sehingga terbayang seperti raja-raja dunia duduk bertahta di dunia).
Mereka mentafsirkan ayat Allah ini (ٱلرَّحْمَـٰنُ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱسْتَوَىٰ) dengan makna "Allah Ta'ala menetap, duduk, bertahta dan sebagainya sebagaimana perbuatan makhluq." Ini adalah I'tiqad dan pegangan batil, sesat. I'tiqad dan pegangan seperti ini merupakan Syirik Akbar (syirik besar), sekaligus merupakan suatu bentuk penghinaan dan "menyakiti Allah".
Catitan Ringkas:
Penjelasan ringkas pengertian Allah Istiwa di ‘Arasy.
Berikut kami sampaikan beberapa catatan ringkas cara memahami pengertian Allah Istiwa di 'Arasy.
(1) Dari satu sudut, ayat-ayat Al-Qur'an dibahagikan kepada dua bentuk:
Pertama: Ayat Muhkamat
Ini adalah Ayat-Ayat Allah berkenaan hukum-hakam (halal, haram, sunnat, makruh, harus, sah, batal, syarat, rukun dan lain-lain) yang difahami dengan tafsir yang diberikan oleh Ulama Mujtahid. (bukan tafsir sendiri)
Kedua: Ayat Mutasyabihat
iaitu ayat kesamaran (tashabbuh) yang memerlukan ta'wil. Dilarang memahaminya dengan terjemahan zahir kerana membawa kepada mensyirikkan Allah. Makna ta'wil adalah memalingkan makna zahir ayat Qur'an kepada pengertian yang menepati Keagungan Allah. Dan ini hanya layak dilakukan oleh Ulama Mujtahid.
(2) Ayat Al-Qur'an (ٱلرَّحْمَـٰنُ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱسْتَوَىٰ) = "Bermula Tuhan Yang Rahman Istiwa di atas 'Arasy" adalah termasuk ayat mutashabihat, maka memerlukan ta'wil oleh Ulama Mujtahid.
(3) Menurut Pendirian Ahlus Sunnah Wal Jamaah, pegangan yang benar kepada Ayat Allah.... (ٱلرَّحْمَـٰنُ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱسْتَوَىٰ)
"Bermula Tuhan Yang Rahman Istiwa di atas 'Arasy" adalah seperti berikut:
"Allah Istiwa di atas 'Arasy. Dan Al-kaif (caranya) Tuhan Istiwa di atas 'Arasy tidak diketahui. Maka dilarang bertanya bagaimana Tuhan di ‘Arasy. Bertanya atau membincangkan atau membahaskan cara Tuhan Istiwa di atas ‘Arasy adalah bid'ah kesesatan."
[Fatwa Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu — Al-Ghunya Li Tolibi Toriqil Haqq]
(4) Istilah yang selamat digunakan adalah : Istiwa dan bukan semayam, bukan duduk, bukan menetap, bukan bertahta dan sebagainya kerana istilah-istilah tersebut membawa kepada "penyerupaan" kepada makhluq — menggambarkan perbuatan makhluq — manusia.
(5) Jika ada yang mendakwa ada juga Perbuatan Allah seperti Melihat, Mendengar, Mengetahui dan lain-lain seperti makhluq, bagaimanakah penjelasannya?
Jawapannya : Melihat, Mendengar, Mengetahui dan lain-lain adalah sifat-sifat yang tidak terupa pada aqal, tidak terbayang di dalam pemikiran, sedangkan istilah "duduk, berdiri, baring" terupa pada aqal sehingga membawa kepada penyerupaan, maka dilarang dinisbahkan kepada Allah.
(6) I'tiqad kita Ahlus Sunnah Wal Jama'ah amat jelas bagaikan matahari yang terang- benderang darihal "Keberadaan Allah". Allah Wujud dan Wujud-Nya Laisa Kamithlihi Syai'un (Tiada sesuatu menyerupai seperti-Nya).
Allah Ta'ala yang menciptakan 'Arasy (dan segala makhluq alam semesta) dan Dia Yang Mentadbirnya. Dia sama sekali tidak memerlukan makhluq-Nya. Tetapi sekalian makhluq memerlukan-Nya. Orang yang menganggap Allah Ta'ala memerlukan ‘Arasy sebagai menetap, adalah jelas melakukan syirik dan penghinaan terhadap Allah. Wal Iyazubillah
Bersambung siri 395 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment