Tuesday, August 20, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 465)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 57:

Lalai dari Zikrullah 

(Lupa kepada Allah)

..... sambungan.....



Dalil-dalil wajib berzikir dalam hati

terus-menerus dan bahaya lupa kepada Allah

================================



Dalil 1:  Firman Allah Ta'ala :


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرً۬ا كَثِيرً۬ا 


"Wahai orang-orang yang beriman,  ingatlah serta sebutlah Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.

[Al-Ahzab (33) : Ayat 41]


Berkata Ibn Abbas Radiallahu‘anhu :

"Allah Ta'ala tidak mewajibkan atas hamba-Nya hal-hal yang fardhu, kecuali  yang telah diketahui olehnya.  Dan orang yang meninggalkan  fardhu-fardhu tersebut kerana alasan tertentu boleh dimaafkan, kecuali Zikrullah. Zikir kepada Allah tidak memiliki batas, dan tidak ada alasan  bagi seseorang untuk meninggalkannya kecuali dia kehilangan aqal. Manusia diperintahkan untuk berzikir kepada Allah dalam segala kesempatan."

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu :

"Ya anakku, ada pun hukum Zikir Allah (dalam hati) itu adalah wajib, seperti Firman Allah di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 41."

[Risalah Ma'rifat ; bab Zikrullah]


Kata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu :

"Orang yang banyak berzikir kepada Allah itu adalah panggilan untuk seseorang yang berzikir secara tulus ikhlas dari hatinya, sedangkan orang yang sedikit berzikir (kepada Allah) adalah orang yang memiliki tanda-tanda orang munafiq.  Kerana dia hanya berzikir dengan lisan dan bertujuan untuk dilihat oleh orang lain sahaja."

[Tafsir Qurtubi]



Penjelasan :

__________


(1) Perintah Allah di atas menyuruh orang-orang beriman Zikir Allah dengah Zikir yang banyak.  Zikir yang banyak bermaksud tiada had atau batas dan diperintah terus- menerus di dalam semua keadaan.


(2) Ayat ini perintahkan Zikrullah, ertinya Zikir ingat Allah, sama ada dengan lisan (berserta ingatan di dalam hati akan Allah) atau semata- mata Ingat Allah di dalam hati. 


(3) Perintah Allah ini menyebut Zikir kepada Allah dengan zikir yang banyak, ertinya apa saja lafaz Zikir yang membawa ingat kepada Allah.  Sama ada kamu zikir dengan Ismuz-Zat, iaitu "zikir Allah"  atau "La-ilaha-Illallah"  atau kamu berzikir dengan ismus-Sifat, iaitu Sifat Allah dengan menyebut Asma Allah yang Maha Sempurna, seperti :  Ya Latiff, Ya Qahhar, Ya hayyu Ya Qayyum dan lain-lain semuanya menuju kepada hakikat Zikrullah, iaitu Ingat Allah terus-menerus.


(4) Daripada Tafsiran Ibnu Abbas yang tersebut tadi, kita memahami adalah wajib atas setiap orang beriman melakukan Zikrullah dengan sebanyak-banyaknya dan di dalam semua keadaan (tanpa had atau batas tertentu — sebanyak-banyaknya).  


Tentu ramai tertanya-tanya, bagaimanakah cara menyempurnakan Perintah Allah ini? 

Apakah mungkin seseorang mampu berzikir dengan zikir yang banyak dan pada masa yang sama berzikir kepada Allah di dalam semua keadaan?  


Jawapannya...

Perintah Allah tersebut adalah  Zikir khafi, iaitu Zikir Allah Allah di dalam hati atau maksudnya : Ingat "Allah" terus-menerus di dalam hati.  Ini bermakna Zikrullah yang diwajibkan atas setiap orang beriman adalah Zikir Allah Allah di dalam hati.  Cara melaksanakannya ditunjukkan di dalam Ilmu Toriqat (Tasawwuf) dengan Pimpinan dan tunjuk ajar Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar).


(5) Menurut keterangan Ulama di atas juga, kita dapat faham ayat Allah ini berikan isyarat bahawa diantara tanda-tanda orang beriman dengan keimanan yang benar adalah dia melakukan Zikrullah dengan zikir yang banyak sementara orang berzikir sedikit atau malas berzikir adalah tergolong ke dalam orang yang mempunyai sifat munafiq. 


Bersambung siri 466 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 512) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...