Wednesday, June 26, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 383)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-50

Banyak Bertanya

(tanpa keperluan)

..... sambungan.....



Penjelasan Tambahan:

Kisah Bani Israel yang Allah Ta'ala Sampaikan kepada Rasulullah ﷺ dan orang-orang beriman seluruhnya mempunyai pengajaran yang amat banyak, di antaranya:


(1) Dialog yang terjadi antara Nabi Musa Alayhis-Salaam dengan Allah Ta'ala ketika Bani Israel datang menghadap Baginda untuk mendapat jawapan kepada persengketaan di kalangan mereka dan untuk mengetahui pembunuh sebenar yang membunuh orang kaya di kalangan mereka... adalah sebesar-besar bukti nyata kepada manusia akan Kewujudan Allah Yang Maha Kuasa, yang secara langsung menjawab pertanyaan-pertanyaan manusia pada saat itu. Ertinya Wujud suatu Kuasa Luar Biasa yang Menciptakan manusia dan dunia seisinya, Yang Maha Mentadbir segala makhluq-Nya, Yang Maha Mengetahui sekalian yang nyata dan yang tersembunyi sehingga tiada suatu keraguan pun akan Kewujudan-Nya dan Keperkasaan-Nya.  Manusia yang paling jahil pun akan mampu memahami sekalian keterangan ini. 


(2) Seluruh peristiwa ini, mulai dari permohonan Nabi Musa Alyhis-Salaam kepada Allah Ta'ala sehingga orang kaya dari Bani Israel yang mati lalu hidup kembali setelah dipukul dengan tulang sapi yang telah disembelih dan dia menceritakan siapa nama orang yang membunuhnya lalu mati kembali... semua ini menunjukkan Ke-Agungan Mukjizat yang Allah Ta'ala Kurniakan kepada seseorang Rasul dan sekaligus membuktikan kebenaran Utusan Allah yang Allah Ta'ala Zahirkan kepada manusia untuk membawa berita gembira dan menakutkan kepada manusia.  Tiada alasan apa pun kepada manusia untuk ingkarinya.  Hanya manusia yang lebih kafir dari Iblis enggan mempercayainya.


(3) Sulton Auliya Imam Jilani Radhiallahu anhu menambah dalam Tafsir beliau : Bahwa untuk sampai kepada Allah, ertinya mencapai Keimanan sejati dan menjadi Mukmin yang di-Redhai Allah, wajib atas setiap Muslim mendengar dan patuh segala Perintah Allah dan Rasul-Nya serta jauhi sama sekali bantahan-bantahan dan pertanyaan-pertanyaan yang banyak sehingga akhirnya binasakan diri.


Apa yang beliau maksudkan, kisah ini bukan hanya terhad pengajarannya kepada orang beriman yang hidup bersama Rasulullah ﷺ tetapi melangkaui zaman Baginda kepada zaman-zaman berikutnya sampai Qiamat.  Ertinya setelah kewafatan Rasulullah ﷺ, wajib atas Ummat Islam mematuhi dan mengikuti Pewaris-pewaris Rasulullah ﷺ yang membawa Perintah Allah dan Rasul-Nya.  Merekalah Imam, Shaikh, Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.


Ummat Islam seluruhnya adalah jahil pada permulaannya.  Mereka tak kenal Allah.  Mereka jahil berkenaan Ketuhanan dan kehambaan.  Mereka tidak mengetahui penyakit-penyakit hati yang merosak keimanan dan ibadah mereka.  Oleh kerana itu mereka wajib mencari Mursyid Pewaris Nabi Sebenar yang mewarisi Ilmu dan amal Nabi zahir dan batin.  Mereka wajib berpegang teguh kepada mereka dan mengikuti nasihat dan arahan mereka untuk mencapai keimanan sejati. 


Barangsiapa telah di-Kurniakan oleh Allah Petunjuk ke dalam hatinya kepada seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dengan keyakinan yang penuh di dalam hatinya, maka wajib baginya mematuhi segala arahan dan pimpinannya bagi mencapai Keimanan dan Ketaqwaan yang hakiki.  Barangsiapa berlengah dari yang demikian, ertinya mereka sering membantah-bantah (sepertimana yang dilakukan oleh golongan Bani Israel) mereka akan terkandas di dalam perjalanan menuju Allah dan yang lebih bahaya lagi terkena istidraj.  Wal Iyazubillah.


Bersambung siri 384 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 390) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...