■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
( Siri 370)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar ke-49:
Menghina orang miskin
kerana kemiskinannya
... Sambungan.....
Dalil 2: Firman Allah:
وَٱصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًۭا
"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan petang hari dengan mengharap ke-Redhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.”
[Al-Kahfi (18 ) : Ayat 28]
Tafsir ayat ini telah lalu penjelasannya. (Sila rujuk Dosa Besar ke-48)
Ayat ini secara keras menempelak orang kafir Quraisy (atau muallaf yang baru masuk Islam) yang menghina para Sahabat Ahlus-Suffah disebabkan kemiskinan mereka. Mereka (kafir Quraisy atau muallaf yang baru masuk Islam) merasa jijik dengan para Sahabat miskin tadi yang sentiasa berada bersama Nabi ﷺ sehingga mereka meminta Baginda menghalau mereka dan mereka dapat duduk bersama Baginda.
Ternyata Allah Ta'ala memuliakan para Sahabat miskin dan dhaif. Melalui ayat ini Allah Ta'ala melarang Nabi ﷺ mengikuti permintaan orang kafir yang meminta Baginda supaya menjauhkan para Sahabat miskin seperti Sayyidina Salman Al-Farisi, Abu Zar dan orang-orang miskin dari kalangan Sahabat supaya mereka (orang kafir yang kaya) dapat dekat dengan Nabi ﷺ untuk tujuan Da'wah. Sebaliknya Allah Ta'ala Perintahkan supaya Baginda tetap bersama para Sahabat Baginda. Meskipun mereka adalah orang-orang miskin, tiada harta, sentiasa memakai pakaian lusuh, namun hati mereka suci bersih. Mereka adalah hamba-hamba Allah yang sentiasa berzikir dan beribadah, mengharap Keredhaan Allah.
Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:
"Dari Adh-Dhahhaq, dari lbnu Abbas, Perintah Allah “ وَلَا تُطِعْ مَنْ اَغْفَلْنَا قَلْبَهٗ عَنْ ذِكْرِنَا “ adalah larangan mengikuti permintaan Umayyah bin Khalaf Al-Jumahi. Orang ini meminta kepada Nabi ﷺ agar Baginda jauhkan Sahabat Baginda yang miskin (Ahlus-Suffah) yang sentiasa bersama Baginda agar tokoh-tokoh Quraisy dapat mendekat kepada Baginda. Golongan kafir Quraisy ini adalah فُرُطًا , iaitu melampaui batas, lalai, fasiq dan zalim.
[Tamat Nukilan Tafsir Qurtubi]
Tegasnya orang-orang yang menghina para Sahabat dan merasa jijik dengan mereka disebabkan kemiskinan mereka dan pakaian mereka yang lusuh, adalah mereka itu orang-orang yang melampau, zalim dan fasiq.
Maka demikianlah hal keadaannya orang-orang yang menghina orang-orang beriman disebabkan kemiskinan mereka, adalah mereka itu فُرُطًا , zalim dan fasiq.
Bersambung siri 371 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment