Monday, June 24, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 379)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-50

Banyak Bertanya

(tanpa keperluan)

=============


Definisi

=======

Maksud larangan "banyak bertanya" adalah : Bertanya sesuatu hal yang tak perlu pada Agama, atau bertanya sesuatu sia-sia, atau pertanyaan-pertanyaan yang akhirnya menyusahkan diri sehingga tak mampu melaksanakan suatu perintah.



Penjelasan:

=========


(1) Asal hukum menyatakan :

Harus bertanya untuk mengetahui hukum hakam (halal, haram, wajib, sunnat, makruh, harus, sah, batal dan lain-lain yang berkaitan) atau mengetahui cara-cara mengerjakan suatu ibadat atau bertanya suatu kemusykilan berkenaan Ketuhanan. 


Walau bagaimanapun "bertanya pada hal Agama" wajib dihadkan, sekira-kira memadai bagi seseorang amalkan ibadah-ibadahnya dan kewajipan-kewajipannya.


Membanyakkan pertanyaan tentang suatu hal yang tak perlu adalah dilarang.  Demikian lagi dilarang membanyakkan pertanyaan berkenaan suatu hal yang tiada kaitan dengannya, atau membanyakkan pertanyaan yang rumit-rumit yang lebih tinggi yang kemudiannya membawa kesusahan kepada dia untuk mengamalkannya dengan aman.


(2) Allah dan Rasul mendiamkan setengah perkara agar tidak menjadi kepayahan kepada Ummat.  Maka jangan bertanya hal yang didiamkan. 


(3) Banyak ummat terdahulu menjadi binasa kerana banyak pertanyaan dan kekufuran mereka kepada Nab-Nabi mereka. 


(4) Apabila seseorang mampu memahami suatu hukum dengan baik dan sudah mengetahui cara-cara mengamalkannya, maka sudah memadai baginya untuk taat.  Jangan lagi bertanya hal yang sama berulang-ulang yang sudah diketahui secara jelas dan jangan bertanya hal-hal yang rumit berkenaan suatu hukum sehingga akhirnya menjadi kesusahan amalkannya. 


(5) Dilarang juga bertanya hal yang tiada faedah, misalnya bertanya "mengapa solat Maghrib 3 rakaat" atau bertanya, "mengapa bayar zakat 2,5%?"  Pertanyaan seperti ini termasuk hal sia-sia dan pertanyaan bodoh yang mengheret  kepada perbahasan sia-sia dan dosa besar. 


(6) Orang yang  mempelajari usuludddin, ketika sudah memahami pelajarannya pada aqal menurut kemampuan aqal, maka memadai.  Bertanya berlebihan atau bertanya banyak berkenaan sifat-sifat Ketuhanan adalah dilarang.  Ini kerana banyakkan pertanyaan akan mengheret kepada perbahasan yang membinasakan.  Misalnya pertanyaan berkenaan "bagaimana Allah Istiwa di Arasy" atau pertanyaan "Siapa yang menjadikan Allah" yang menjadikan hati menjadi rosak binasa dan mengeheret kepada kesesatan.  Wal Iyazubillah.


(7) Salikin (orang yang menempuh jalan Ma'rifat dengan bimbingan Mursyid yang benar-benar 'arif) dilatih supaya "dengar dan taat" kerana ini  perintah Allah kepada semua orang beriman.  Dilarang banyak bertanya dan amalkan sahaja apa-apa yang disuruh kerana sememangnya semua orang awam dan salikin adalah jahil pada permulaannya.  Salikin yang banyak bertanya tanpa keperluan akan melambatkan perjalanannya atau lebih bahaya lagi membinasakan dirinya. 


Setengah mereka menyangka mereka sudah bijak dan mampu berbahas hukum-hakam Agama kerana mereka sudah lama menuntut Ilmu Syari'at (fiqh) dan memiliki Ijazah, Drs, Profesor dan sebagainya tetapi mereka tak sedar segala ilmu yang mereka pelajari pada peringkat awam hanya permulaan Mengenal Allah. Dan ibadah mereka dipenuhi dengan berbagai penyakit — syirik khafi dan mazmumah yang membinasakan sekalian ibadah.  Menyedari hal ini adalah keutamaan yang membawa keselamatan.  Sebaliknya terus-menerus di dalam sangkaan diri sudah banyak ilmu adalah tipu daya Iblis yang membawa kepada kesesatan.  Wal Iyazubillah.


Bersambung siri 380 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

  🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...