Thursday, October 05, 2023

 ■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

( Siri 301)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 39:

Puji makhluq tanpa haq

sambungan.......



Contoh-Contoh

============


Contoh 1:

Memuji Pemimpin zalim, fasiq atau kafir, seperti katanya : "engkau orang mulia" atau "engkau pemerintah hebat" atau "engkau pemurah", "moga engkau panjang umur" dan lain-lain sepertinya adalah bentuk pujian yang dilarang keras kerana berlaku subahat kepada kezaliman, kefasikan atau kekafiran.  Telah terdahulu huraian kami berkenaan "Larangan subahat kepada kemungkaran".   Dengan ini barangsiapa memuji orang zalim, fasiq atau kafir maka dia telah menyokong perbuatan mungkar,  layak baginya siksaan Allah. 


Sabda Rasulullah ﷺ

"Sesungguhnya Allah Ta'ala Murka apabila orang fasiq dipuji".

[Imam Bayhaqi]


Berkata Imam Hasan Al-Basri Radhiallahu anhu:

"Barangsiapa berdoa untuk orang zalim, dengan panjang umurnya, maka sesungguhnya dia menyukai orang zalim itu berbuat ma'siat kepada Allah."

[Ihya Ulumuddin]



Contoh 2:

Memuji seseorang kiyai atau muallim atau ustaz dengan pujian yang berlebihan seperti katanya : "engkau orang alim, tiada lagi orang alim seperti engkau di negeri ini" sedangkan pujian tersebut tak layak bagi orang yang dipuji.  Ucapan pujian itu semata-mata kerana riya' seolah-olah dirinya pandai menilai orang alim. Atau dia mempunyai niat-niat yang lain bertujuan menjilat.


Pujian tidak haq ini membawa kepada beberapa dosa besar yang lain iaitu : riya', dusta, kesaksian palsu, bersifat munafiq dan rosak Tauhidnya.  


Muallim atau kiyai atau ustaz yang menerima pujian akan terbuai di dalam pujian, maka terjadi pada dirinya berbagai penyakit 'ujub, takabbur dan rosak Tauhidnya.  


Sebagaimana kami katakan, di dalam hal ini kedua-dua pihak ; yang memuji dan yang dipuji akan sama-sama rosak Tauhid dan ibadahnya.  Isyarat Rasulullah  ﷺ di dalam hadith Baginda:


Sabda Rasulullah  ﷺ:

“Celaka engkau, engkau telah memotong leher saudaramu! Celaka engkau, engkau telah memotong leher saudaramu!” Nabi mengulanginya beberapa kali.

[Imam Bukhari, Imam Muslim]


 Contoh 3:

Di dalam pemerintahan negara, pegawai bawahan memuji-muji ketua mereka semata-mata bertujuan mendapatkan habuan dunia, pangkat dan kedudukan.  Mereka ini samalah seperti yang disebut pada contoh2 di atas, zahirnya kelihatan berbuat baik, berjinak-jinak dan memuji-muji tetapi pujian tersebut mengandungi racun kesyirikan.    


Hal ini bukan cerita kosong tetapi benar-benar telah berlaku dan sedang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin politik. 


Sejak zaman Pemerintahan Mulkan Addhan, (selepas tamatnya Pemerintahan Sayyidina Ali Karramallahu wajhah) pemimpin-pemimpin yang zalim dan fasiq memerintah  dikelilingi oleh pegawai-pegawai pengampu yang menagih pangkat dan kedudukan.  Tidak ketinggalan di dalamnya orang-orang berpakaian "ulama as-su, qadhi, mufti"  menjadi penjilat kepada pemerintah untuk terus mendapat tempat di hati khalifah.


Pada zaman ini kerja-kerja mengampu, menjilat, bermuka-muka di kalangan ahli-ahli politik berparti politik tetap bersambung, sama ada parti politik yang "mempergunakan nama Islam" atau parti politik lainnya.


Bersambung siri 302 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...