■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
( Siri 278)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 36 :
Tidak Redha dengan Taqdir
.....Sambungan.....
Contoh-contoh tidak redha dengan Taqdir
==============================
Berikut adalah beberapa contoh yang lazim terjadi di kalangan manusia berhubung dengan ketentuan Allah yang berlawanan dengan kehendak, cita-cita dan harapan mereka. Manusia menyangka mereka mesti memperoleh sesuatu yang mereka inginkan. Apabila gagal mencapainya, mereka terus menyalahkan Taqdir. Mereka mempersoalkan keadilan Allah. Mereka mempertikaikan suatu nasib buruk yang menimpa mereka.
Contoh 1
Dua orang pelajar sekolah atau Universiti sama-sama belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan. Seorang mendapat kejayaan cemerlang sedangkan seorang lagi gagal atau tidak berjaya mencapai keputusan cemerlang seperti kawannya. Orang yang gagal ini tak boleh menerima kenyataan, lalu dia mempertikaikan Taqdir dan menyangka Allah tidak adil. Ini kekufuran yang membawa kebinasaan.
Contoh 2
Seorang peniaga yang bekerja sungguh-sungguh mencari rezeki, tetapi tetap miskin. Hidupnya sangat susah dan dhaif. Walaupun dia cuba macam-macam cara untuk memajukan pernigaannya dan mengecapi kekayaan seperti orang lain, namun keadaannya tetap sama. Lalu dia berkata di dalam hati Allah tidak adil. Ini kata-kata kufur yang menunjukkan tidak redha dengan ketentuan Allah ke atasnya.
Contoh 3
Menjadi suatu kelaziman, sebahagian Salikin (murid pada jalan Ma'rifat) yang sudah lama mujahadah pada Jalan Ma'rifat merasa hairan dengan ketentuan Allah. Salikin yang datang kemudian semuanya mencapai kejayaan yang baik. Sedangkan dirinya yang sudah lama mujahadah masih di peringkat yang lama. Maka datang sangkaan buruk di dalam hatinya terhadap ketentuan Allah. Ini menunjukkan dia tidak redha dengan Taqdir,
Contoh 1-3 di atas menunjukkan keimanan yang rapuh, Tauhid yang sangat lemah. Inilah keimanan orang awam yang sentiasa terumbang-ambing di antara "Tauhid dan syirik (syirik khafi) atau di antara "Iman dan nifaq (munafiq kecil). Mereka gagal melihat bahawa Allah Yang Maha Perkasa Ciptakan sekalian makhluq dan menentukan kedudukan dan kadarnya. Dia (Allah) Mengurniakan Rezeki kepada sesiapa yang di Kehendaki-Nya dan menarik Rezeki daripada sesiapa yang di Kehendaki-Nya. Dia (Allah) Meninggikan kedudukan seseorang dan Dia (Allah) juga Maha Berkuasa Menjatuhkannya. Tiada siapa pun berhak campur tangan di dalam Urusan Qadha dan Qadar yang Allah tetapkan.
Firman Allah Ta’ala :
إِنَّ اللَّهَ بَـلِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْراً
Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
[At-Talaq (65) : Ayat 3]
Firman Allah Ta’ala :
قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِى ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬
"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
[Aali- Imran (3) ; Ayat 26]
Sabda Rasulullah ﷺ
“Allah Ta'ala telah menulis Taqdir makhluq sebelum Dia (Allah) mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”.
[Imam Muslim].
Bersambung siri 279 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment