Wednesday, January 08, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 596)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Contoh 2 : Menimbulkan kekeliruan berhubung dengan persoalan "keberadaan Allah", "di mana Allah"


Di antara persoalan yang sering dijadikan bahan mainan dan perdebatan oleh golongan yang mempunyai penyakit hati untuk menta'wil menurut aqal sehingga membawa kesesatan adalah:


1. Mereka berdebat berkenaan "keberadaan Allah" (persoalan "di mana Allah?" ).  

2. Mereka berdebat "Allah di langit".

3. Mereka berdebat "Allah duduk tinggi jauh dari manusia"

4. Mereka berdebat "Allah jauh dari manusia kerana manusia kotor"


Orang awam yang tiada cukup ilmu terpinga-pinga dengan persoalan-persoalan ini.  Bila tak mampu menjawab, mereka mencari sana sini, mencari dalam internet, baca sendiri tulisan ustaz wahhabiyyah yang merujuk "Ulama wahhabiyyah" sehingga menjadi perbalahan berpanjangan. 


Jawapan bagi semua persoalan ini, berkenaan "keberadaan Allah",  telah lama dijawab oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah.  Berikut kami sampaikan panduan bagi orang awam memahami cara-cara I'tiqad dan pegangan Ahlus Sunnah berhubung dengan "keberadaan Allah".


Cara i'tiqad keberadaan Allah atau menjawab pertanyaan "di mana Allah" menurut Ahlus Sunnah wal Jamaah:


Penjelasan 1 — keberadaan Allah:

Pendirian asas yang paling penting yang wajib ada dalam hati setiap orang beriman berhubungan dengan "keberadaan Allah" adalah:


Allah wujud dan wujud-Nya ....

 لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ       

 " Laisa Ka-mithli-hi syai 'un "

ertinya  tiada umpama sesuatu seperti-Nya.


Ini bermakna Dia (Tuhan Rabbul Jalil)  tidak dapat dimisalkan dengan sekalian makhluq.  Allah Ta'ala berlainan sama sekali dari makhkuq-Nya. Pegangan pertama ini saja cukup untuk menyatakan Allah Ta'ala tidak sama dengan sekalian yang baharu.  Apa sahaja terbayang, terlintas, terupa pada aqal, maka semua itu adalah makhluq.  Dengan demikian menyerupakan Allah dengan apa jua yang Allah ciptakan adalah Syirik. 



Penjelasan 2 — keberadaan Allah:

Menurut pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, apabila ditanya di mana Allah, maka jawablah sebagaimana Allah Ta'ala menyebutkan diri-Nya di atas Arasy-Nya, tanpa sebarang kaifiyyat atau cara.


Firman Allah:

 

ٱلرَّحْمَـٰنُ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱسْتَوَىٰ 


Bermula (Allah), Ar-Rahman istiwa di atas Arasy.  

[Surah Toha (20) : Ayat 5]


Berkata Imam Jilani رضي الله عه:

"Al-kaif (caranya) Tuhan istiwa di atas 'Arasy tidak diketahui.  Maka dilarang bertanya bagaimana Tuhan di Arasy.  Bertanya atau membincangkan atau membahaskan cara Tuhan istiwa di atas Arasy adalah bid'ah kesesatan."

[Al Ghunyah]


Inilah pegangan yang benar.  Iaitu apabila ditanya di mana Allah, jawablah :

“Allah sebagaimana Dia Firman di dalam Al-Qur’an :    "Allah  istiwa  di atas Arasy”    sesuai dengan Kemuliaan dan Keagungan-Nya.  Dan caranya istiwa tidak diketahui.  Bertanya atau membincangkan tentang cara Tuhan istiwa di atas Arasy adalah bid’ah kesesatan.                                      _selesai _


Itu sahaja cukup sebagai pegangan dan jawapan kepada mana-mana Muslim yang bertanya.  Kita cuma disuruh meyakini dan beri'tiqad bahawa Allah Ta'ala  istiwa di atas Arasy tanpa membincangkan bagaimana caranya Dia istiwa di atas Arasy.  Jawapan ini adalah yang lebih baik dari jawapan lain kerana ianya lambang Ketinggian, Keagungan serta Kebesaran Allah Ta'ala di atas makhluq-Nya.  


Perlu diingat:

Pernyataan ini bukan bermakna Allah memerlukan Arasy sebagai tempatnya!

Bukan juga bermakna Allah bertahta seperti Raja-raja. 

Bukan juga bermakna Allah tinggal menetap di Arasy.  

Ini kerana semua itu adalah sifat makhluq, Maha Suci Allah Ta’ala dari menyerupai makhluq.  Inilah sebabnya awal-awal diperingatkan jangan bertanya atau bincangkan kaifiyyat (cara)  "Tuhan istiwa di atas Arasy".!!!


Bersambung siri 597 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=======================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 602) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...