Tuesday, July 23, 2024

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 416)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar ke-55:

Abaikan Toriqat (Tasawwuf)

..... Sambungan....




Dalil 5 : Firman Allah:


قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ


"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman (iaitu) orang-orang yang khusyu' dalam solatnya,...."

[Al Mu'minoon (23) : Ayat 1-2]


Firman Allah Ta'ala:


فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُصَلِّينَ  ٱلَّذِينَ هُمۡ عَن صَلَاتِہِمۡ سَاهُونَ


".... Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat ; iaitu mereka yang lalai di dalam solatnya..."

[Al-Ma'un (107) : Ayat 4- 5]


Beberapa kunci penting pada Perintah Allah ini:

1. Di antara tanda Mu'min (orang yang benar-benar beriman) adalah Khusyu’ di dalam Solat.

2. Khusyu’ merupakan Syarat sah batin di dalam solat.  Tanpa khusyu’ solat akan menjadi sia-sia dan mendapat Kemurkaan Allah.  

3. Allah Ta'ala Murka kepada orang yang solat tetapi lalai di dalam solatnya. 


Kebanyakan orang Islam yang sedang membaca Risalah ini sudah pun melakukan ibadah Solat selama puluhan tahun.  Di dalam tempoh tersebut masing-masing sudah berusaha untuk mencapai "khusyu' " namun tak berjaya.  Jasad berdiri di atas tikar sejadah, tetapi hati telah melayang jauh ke alam raya.  Jasad berdiri di dalam masjid, tetapi hati sedang berjual beli di pasaraya atau sedang asyik dengan kerja-kerja pejabat atau sedang memikirkan jawapan kepada perdebatan. 


Kesukaran untuk khusyu' bukan sahaja dialami oleh orang-orang yang kurang ilmu tetapi juga orang alim fiqh yang sangat mahir. Bahkan setengah orang alim fiqh lebih kuat kelalaiannya berbanding si jahil kerana dia didatangi perbagai persoalan fiqh atau berbagai perdebatan ilmiah ketika mengerjakan solat. 


Apakah itu khusyu’?

Apakah hakikat khusyu’ menurut Kehendak Allah?

Apakah cara-cara berkesan mencapai khusyu’ di dalam solat?


Persoalan khusyu’ berkait rapat dengan hal ehwal hati, haqiqat hati, anasir yang menguasainya dan suasana yang menyelubunginya.  Untuk mencapai khusyu’ di dalam solat, setiap orang Islam WAJIB menyucikan hatinya menurut Manhaj Ahli Ma’rifat (amalkan Toriqat berserta Syari’at) dengan pimpinan Guru yang Arif.  Jika dia tidak berbuat demikian, maka selamanya dia akan melakukan solat di dalam keadaan lalai, meskipun dia seorang alim fiqh atau dia seorang professor atau seorang yang mahir di dalam berbagai ilmu Islam.  Akibatnya sentiasalah dia di dalam keadaan menanggung dosa besar. 


Bukti bagi kenyataan ini adalah kisah Imam Ghazali Radhiallahu Anhu ketika beliau belum masuk ke Jalan Ma'rifat. 

Pada saat itu beliau sudah pun bergelar Hujjatul Islam, menjadi alim fikih, mahir segala ilmu alat dan menjadi rujukan murid-murid seluruh dunia.  Meskipun demikian tinggi ilmu syari’at (Zahir) pada saat itu, namun beliau tak mampu khusyu’ di dalam solat beliau. Beliau juga akui bahawa ketika itu beliau  merasakan diri beliau tidak Ikhlas.  


Akhirnya beliau meninggalkan segala jawatan dan kebesaran beliau dan berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi selama 11 tahun.  Beliau mujahadah menurut  Jalan Ma’rifat dan bersuluk lama sehingga akhirnya Allah Ta’ala Kurniakan beliau ilmu Mukasyafah, Tauhid hakiki, haqiqat Ikhlas dan Khusyu’ di dalam solat.

[Kisah Imam Ghazali di dalam Munqiz Min-adh-Dholal]


Bersambung siri 417 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 527) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّل...