■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 311 )
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 42:
Ungkit Pemberian
==============
Definisi
========
Menurut bahasa:
Ungkapan al-manna ( اَلْمَنَّا ) — ungkit, membangkitkan, menaikkan, menyebut-nyebut pemberian.
Menurut istilah :
Ungkapan al-manna ( اَلْمَنَّا ) adalah : mengungkit, menyebut-nyebut, membangkitkan kembali kebaikan yang pernah dilakukannya (sama ada sedekah, pertolongan atau lainnya) di hadapan orang yang telah menerima kebaikan tersebut atau di belakangnya.
Berkata Imam Al-Haythami Radhiallahu anhu:
"Ungkapan al-manna ( اَلْمَنَّا ) adalah menghitung-hitung pemberiannya (menyebut-nyebut kebaikannya berupa sedekah, pertolongan, dan lain-lain) kepada orang yang menerimanya, atau menceritakan pemberian itu kepada orang lain yang si penerima tidak suka orang itu mengetahuinya.”
[Al-Zawaajir]
Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:
"Makna dari "مَنَّا" (manna) adalah : menyebutkan kebaikan untuk menyindir orang yang menerima kebaikan (sedekah) dan meminta pujian darinya. Contohnya seseorang berkata: "Aku telah berbuat kebaikan padamu atau aku telah membantumu menjadi orang kaya atau lain-lain seperti itu. Beberapa Ulama lain mengertikan kata ini dengan: selalu membicarakan kebaikan yang telah diperbuatnya hingga terdengar oleh orang yang menerima kebaikan tersebut dan menyakiti hatinya."
[Tafsir Qurtubi]
Kata sebahagian Ulama:
“ Ungkapan " اَلْمَنَّا " (Al-manna) di ambil dari kata " مِنَّةُ " (Minnah)_, iaitu ni'mat. _Mannan adalah menyebut-nyebut nikmat kepada yang diberi serta membanggakan diri. Kata ini bererti memotong atau berkurang apabila menyebut-nyebut pemberian. Ini kerana pahala yang dimiliki pemberi akan terpotong atau mengurangi."
Penjelasan:
========
(1) Mengungkit atau menyebut-nyebut pemberian berupa sedekah atau hadiah atau pertolongan lain kepada seseorang hamba Allah merupakan dosa besar.
(2) Seseorang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya inginkan pujian orang lain, ingin di hargai, ingin terkenal sebagai dermawan, ingin dipuji sebagai orang mulia dan diangkat sebagai orang terhormat.
(3) Orang yang suka mengungkit pemberian atau kebaikan yang pernah dilakukannya, batal lah segala kebaikannya dan jatuh kepada beberapa dosa besar, khususnya Syirik (syirik khafi). Di antara dosa besar tersebut adalah: Takabbur, 'riya, 'ujub, sum'ah, tawakkal bi ghairillah dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah atau pemberian lainnya.
(4) Sebahagian orang yang gemar mengungkit ini tidak menyedari bahawa ia merupakan dosa besar lantaran kejahilannya. Sebahagian lagi mengetahuinya dengan terang akan keharamannya tetapi tetap melakukannya demi keangkuhan dan kemuliaan dirinya.
(5) Setiap Ibadah termasuk sedekah atau kebajikan lainnya wajib dilakukan dengan ikhlas, iaitu semata-mata mencari Redha Allah. Orang seperti ini diberi berita gembira bahawa ganjarannya digandakan dengan beberapa lipat. Tetapi apabila seseorang melakukannya dengan tujuan kemegahan atau kesombongan atau rasa diri bagus atau untuk mendapat pujian atau lain-lainnya, maka terhapuslah semua kebaikannya dan hilanglah apa saja yang dijanjikan.
(6) Tajuk "Ungkit pemberian" ini dimasukkan ke dalam Risalah ini kerana hubungan rapatnya dengan "Penyakit-penyakit hati" yang membawa kepada berbagai dosa besar yang tidak disedari.
Berkata Imam Al-Haythami Radhiallahu anhu:
“Sebahagian Ulama menyimpulkan beberapa bahaya mengungkit-ungkit sedekah iaitu:
Pertama, mengurangi pahala atau bahkan membatalkannya. Kedua, termasuk akhlaq yang buruk. Ketiga, ancaman keras bagi pelakunya. Keempat, menyusahkan dan menyakiti bagi pelakunya. Kelima, menyebabkan Kemurkaan Allah Ta'ala. Keenam, sifat itu menyerupai sifat orang yang munafiq.”
[Al-Zawaajir]
Bersambung siri 312 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment