Monday, December 26, 2022

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 146)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.20  Dosa Besar ke -19:   Bakhil ( بَخِيْل  )


Definisi :


Dari segi bahasa : 

Bakhil ( بَخِيْل  ) berasal dari kata dasar ( بَخُلَ، يَبْخَلُ، بَخِيْلٌ ), bermaksud menahan sesuatu.


Dari segi istilah :

Bakhil ( بَخِيْل  ),  bermaksud menahan harta daripada belanjakannya pada jalan Allah atau membantu orang lain. Istilah bakhil lazim disebut kedekut, kikir, lokek, pelit, tangkai jering


Penjelasan:


(1) Bakhil atau kedekut merupakan sifat yang amat tercela yang diMurkai Allah.


(2) Bakhil bermaksud mengumpul-ngumpul kekayaan untuk dirinya, menyimpan2 wang yang banyak mengikut hawa nafsunya, sangat mencintai harta dunia,  dan enggan belanjakan hartanya pada Jalan Allah, enggan membantu orang lain yang kesempitan. Atau berkira2 untuk keluarkan belanja meskipun dirinya memilik harta yang banyak. 


(3) Sifat bakhil muncul dari hati yang berpenyakit serta terkait kepada beberapa penyakit hati yang lain, iaitu cinta dunia, panjang angan2, tamak haloba, lupa mati, lupa Akhirat bahkan lupa kepada Allah Ta'ala Yang Maha Permurah yang Mengurniakan harta yang banyak kepadanya. 


(4) Kesan paling buruk yang bakal menimpa seseorang yang bakhil adalah dia termasuk orang kufur Ni'mat, tidak tahu mensyukuri Ni'mat Allah.


(5) Istilah Bakhil bukan sahaja tertuju kepada orang yang enggan sedekah Fi Sabilillah atau membantu orang lain tetapi juga kepada orang yang mengeluarkan sedekah yang tidak sesuai dengan kemampuannya. (memiliki wang banyak tetapi sedekah sama seperti orang miskin bersedekah)


(6) Istilah "bakhil" sentiasa berlawanan dengan istilah "pemurah". 


(7) Istilah "bakhil" juga sering dibincangkan bersama "sifat boros".  Bakhil itu menahan harta yang patut dikeluarkan, sedangkan "boros" adalah berlebihan mengeluarkannya sehingga diri sendiri menjadi papa kedana dan meminta2.  Kedua2nya tercela.


(8) Lazimnya istilah bakhil tertuju kepada orang yang kaya-raya, yang memiliki harta yang banyak melebihi keperluannya. Meskipun demikian, orang yang memiliki kurang harta juga tidak terlepas daripada sifat bakhil. 


(9) Sebahagian Ulama kita berfatwa  : Ahli agama yang mempunyai pengetahuan tentang kebenaran tetapi mereka menyembunyikannya adalah termasuk bakhil dan akan menerima siksa yang amat berat. Walau bagaimanapun istilah yang lebih tepat bagi orang seperti ini adalah "pengkhianat". Maka tidaklah dibincangkan di sini melainkan dibincangkan berasingan di bawah tajuk tersendiri. 


(10) Ukuran seseorang itu masuk kategori bakhil atau tidak bergantung kepada kelayakannya (harta yang dimiliki), keadaan taraf hidupnya, tanggungannya, tuntutan yang dihadapinya dan beberapa faktor lain. Maka tidaklah mudah menuduh seseorang itu sebagai "bakhil" semata2 kerana dia "menahan" hartanya atas sebab2 yang munasabah pada hukum Syara' dan tidaklah mudah memastikan seseorang itu pemurah semata2 kerana pada zahirnya dia belanjakan harta dengan banyak kepada orang lain. 


(11) Pada dasarnya seseorang akan dikira sebagai bakhil apabila memiliki sifat2 berikut berhubung dengan hartanya:

Pertama:      Tidak menunaikan kewajipan atas hartanya

Kedua :        Kaya-raya tetapi sangat berkira2 ketika sedekah.  

Ketiga :        Sentiasa bimbang dengan simpanan harta/wangnya. 

Keempat :    Sentiasa memikirkan cara memenuhkan tabungnya.

Kelima     :   Menuntut balasan atas sedekahnya.


(12) Tujuan penjelasan di sini adalah lebih kepada menilai / ukur diri sendiri dan bukan menilai orang lain meskipun ada kalanya perlu menilai hal seseorang bertujuan memberikan nasihat, tunjuk ajar, bimbingan agar dia terlepas dari sifat bakhil yang amat buruk ini.  Namun, orang yang benar2 layak dan berhak atas urusan ini adalah Mursyid (pewaris Nabi yang siddiq) yang membimbing manusia kepada Allah Ta'ala.


Bersambung siri  147  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           

No comments:

Post a Comment

 ■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 522) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...