■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
KEWAJIPAN AMALKAN TASAWWUF-TORIQAT
(Siri 54)
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
8.0 Cabang Penting :
sambungan...
Cabang 5 : Wahyu Pertama dan Zikir Allah Allah Allah ( sambungan )
Rumusan dari penjelasan berkenaan hubungan Wahyu Pertama (Iqra' ) dan Zikir Allah Allah adalah :
Rasulullah ﷺ mendidik para Sahabat dengan Kalimat Suci ini — "Zikir Allah Allah di dalam hati " atau kita katakan "Berzikir mengingat Allah berterusan di dalam hati tanpa henti²nya" (menurut kaifiyyat, peraturan dan adab² tertentu), sehingga hati mereka menjadi suci bersih dari sekalian syirik atau kekejian atau kelalaian.
Apabila jiwa telah suci bersih dari kekotoran ma'nawiyyah, maka terpancarlah cahaya Ketuhanan di dalamnya. Jiwa dan jasad mereka dikuasai dan diliputi oleh cahaya zikrullah dan Cahaya Tauhid yang suci murni. Jiwa mereka sentiasa karam di dalam ingatan kepada Allah. Pandangan, pendengaran, perasaan semuanya lebur di dalam Bahr Ahadiyyah (Lautan Keesaan). Bahkan mereka sentiasa muwajihah (menghadap wajah) kepada Allah Ta'ala. Iaitu mereka sampai kepada Maqam Qurbah, Mardhiyah, Mahabbah sehingga tiada lagi hijab antara mereka dengan Allah Ta'ala (Maqam Ma'rifat yang tinggi / Tauhid yang suci murni ).
Inilah tarbiyyah (didikan) yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ terhadap para sahabat Ridhwanullah sebagai persediaan kembali kepada Allah, iaitu kembali (ruh) kepada Allah sebelum jasad kembali kepada Allah dengan berakhirnya kehidupan dunia dengan kematian. Mereka telah "mati" sebelum mati, maka jadilah kehidupan dunia ini hanya tempat persinggahan yang TIDAK menggugat keimanan mereka. Apabila diturunkan perintah Solat, Puasa, Zakat dll semua itu disambut oleh para Sahabat dengan wajah gembira dan menyempurnakannya dengan ruh kelazatan. Inilah sebenar jiwa Ma'rifat, jiwa yang telah musyahadah akan Wajah Allah, jiwa yang terbentuk dengan didikan zikrullah — zikirkan nama Allah terus-menerus di dalam hati / ingat Allah terus menerus didalam hati..!
Apabila mereka mendirikan solat, jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan musyahadah kepada Allah — maka jadilah solat mereka ikhlas sebenar ikhlas yang suci dan khusyu sepanjang solat mereka.
Apabila mereka berpuasa, jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan musyahadah kepada Allah — maka jadilah puasa mereka ikhlas sebenar ikhlas yang suci dan tunduk khusyu sekalian anggota. (bukan semata² jaga perut)
Apabila mereka tilawah Al-Qur'an, hati mereka tidak lalai, jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan musyahadah kepada Allah — maka jadilah bacaan itu suci ikhlas semata² kerana Allah dan bercahaya2 bacaannya.
Apabila mereka berda'wah, berjihad, jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan musyahadah kepada Allah — maka jadilah jihad mereka ikhlas sebenar ikhlas yang suci dan tunduk khusyu semata² kepada Allah. Mereka telah serahkan jiwa mereka kepada Allah.
Apabila mereka bermuamalah, bergaul ke dalam masyarakat, nikah kahwin, makan minum dll. jiwa mereka terus-menerus berzikir ingat Allah dan musyahadah kepada Allah — maka jadilah setiap perbuatan dan perkataan mereka memperoleh keredhaan ALLAH, tiada yang sia² walau sedikit pun.
Apabila diberi amanah memerintah negara / wilayah / daerah... mereka sempurnakan amanah tanpa mengambil walau satu sen dari hak rakyat.
Apabila datang perintah Jihad, mereka berlumba² untuk mati syahid.
Inilah kehidupan Rabbaniyyah, sebuah kehidupan yang tenang aman damai, bahagia, diwarnai oleh Syurga yang disegerakan, iaitu Syurga yang di dalamnya tiada wujud istana atau bidadari tetapi hanya Allah yang Maha Agung. Kehidupan ini hanya untuk mereka yang sungguh² mujahadah pada Jalan Allah — Jalan Ma'rifat Ilahiyyah.
Perhatikan sungguh² penjelasan ini dan fahamkanlah.
bersambung siri 55 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
No comments:
Post a Comment