■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
KEWAJIPAN AMALKAN TASAWWUF-TORIQAT
( Siri 95 )
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
14.4 Mengapa " Hati " Menjadi Sandaran Untung atau Rugi
■ Apakah Hikmahnya Allah Ta'ala mengisyaratkan "Hati" manusia kepada "kebaikan atau Kejahatan"?
■ Apakah Rahsia Allah Ta'ala mengisyaratkan "keberuntungan" kepada "Hati insan yang suci" sementara "kerugian" kepada "Hatinya yang kotor"?
■ Mengapakah diunggulkan "Hati" dan bukan anggota lain seperti "Aqal"?
Hubungan Qalb (Hati) dan Ruh (roh) telah pun disentuh sepintas lalu pada Siri 6. Sebagai mengingat semula, Qalb (hati) adalah jisim halus yang terhubung kepada Ruh. Qalb (Hati) boleh jadi Suci dan boleh menjadi kotor berdasarkan unsur yang menguasainya.
Qalb (Hati) adalah tempat tersimpannya Rahsia Insan dan Rahsia Ketuhanan.
Qalb (Hati) adalah tempat terbitnya cahaya TAUHID atau kegelapan SYIRIK.
Qalb (Hati) adalah tempat pertarungan IMAN (yang dibantu oleh Malaikat) dengan nafsu kejahatan (yang disokong oleh Iblis.)
Qalb (Hati) adalah tempat terbitnya segala cita, gerak, keinginan, kemahuan manusia.
Qalb (Hati) adalah tempat perhitungan kebahagiaan atau kecelakaan.
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging apabila baik ia, nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalb. (hati).
[Imam Bukhari]
Dari sudut kajian Sains, apabila Qalb (jantung fizikal) berfungsi dengan baik, bersih dari pencemaran, maka sekalian anggota tubuh termasuk Aqal, paru2, buah pinggang, darah daging semuanya berfungsi dengan baik. Apabila terjadi suatu kerosakan pada Jantung, seperti tersumbat dengan kolestrol atau proses mengepamnya tidak normal atau lainnya, maka akan terjadi berbagai komplikasi terjadi kepada tubuh yang akhirnya mengakibatkan berbagai penyakit kronik. Ini suatu ibarat yang dapat difahami.
Adapun Qalb (Hati) yang dimaksudkan oleh Rasulullah ﷺ adalah hakikat Qalb (Hati) yang bersifat ruhaniyyah iaitu Jisim halus yang menguasai insan. Apabila Qalb (Hati) itu baik di dalam ertikata suci bersih, maka sekalian anggota tubuh lain akan menjadi baik, beriman dan melakukan keta'atan. Sebaliknya apabila Qalb (Hati) itu jahat dalam ertikata kotor, maka sekalian anggota tubuhnya akan menjadi jahat, melakukan kefasikan dan kekufuran.
Oleh kerana Hati menjadi sumber segala kebaikan atau kecelakaan, maka sumber ini perlu disucikan dahulu. Medan ini perlu ditawan dahulu. Sekalian sifat nifaq (kemunafikan), mazmumah (kekejian) dan syirik khafi (syirik tersembunyi) mesti dicabut dari akar umbinya.
Bagaikan sebuah ladang yang dipenuhi oleh lalang dan anasir2 perosak, maka pertama sekali yang perlu dilakukan oleh seseorang peladang adalah mencabut lalang dan anasir perosak dari akar umbinya. Setelah ladangnya telah bersih dari kesemua perosak barulah peladang dapat membajak dan menanam benih yang terpilih untuk bercucuk tanam dan meraih hasilnya yang lumayan.
Demikianlah ibaratnya hati insan yang telah bersih dari kesemua kekotoran, kekejian, dan kesyirikan, kemudian bercahaya hati itu dengan cahaya Ketuhanan, barulah “benih TAUHID yang suci” terpancar dari HATINYA. Kemudian terbit lagi ibadah dan amal2 kebaikan yang benar-benar ikhlas.
Oleh kerana inilah Rasulullah ﷺ diutus oleh Allah Ta'ala untuk menyucikan batin manusia.
Firman Allah:
هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬
“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Ilmu rahsia dan pengetahuan mendalam). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
[Al-Jumu’ah (62) : ayat 2]
Baginda BUKAN sekadar da'wah kepada manusia, bahkan lebih dari itu, Baginda diperintah mendidik, mengasuh dan menyucikan batin (hati) mereka sehingga benar² suci bersih.
Iaitu perkara pertama yang Baginda lakukan sebaik sahaja para Sahabat masuk Islam adalah mendidik dan mengasuh jiwa mereka dengan kaedah tertentu yang sangat khusus.
Hati mereka dirawat dengan berbagai ramuan, ubat dan penawar sehingga akhirnya menjadi benar² suci bersih dari semua macam kesyirikan, kemunafikan dan kekejian.
Manhaj dan kaedah penyucian jiwa inilah yang kemudian dinamakan Toriqat Rasulullah ﷺ atau Jalan Ma'rifat (akan datang penjelasan lanjut. In shaa Allah).
Namun pada akhir zaman ini, kebanyakan orang Islam termasuk sebahagian yang begelar Ulama, Ustaz, Muallim, Kiyai juga TIDAK memahami dan TIDAK lagi amalkan Jalan Suci Rasulullah ﷺ ini. Akibatnya tinggallah mereka di dalam kekotoran jiwa yang membawa kepada kesyirikan — syirik khafi, mazmumah dan ghaflah dan ma'siat batin yang berpanjangan. Wal Iyazubillah.
bersambung siri 96 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
No comments:
Post a Comment