■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
KEWAJIPAN AMALKAN TASAWWUF-TORIQAT
(Siri 88)
■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
13.0 MATLAMAT TORIQAT (JALAN MA'RIFAT)
sambungan....
13.3 Penjelasan Tambahan : Asal Insan Suci, Kemudian Menjadi Kotor:
Ini adalah tambahan penjelasan berkenaan Ruh insan di Alam Nur dan bagaimana ianya menjadi kotor dan kewajipan menyucikannya semula bagi mengenal Allah dan Ubudiyyah.
Ketika di Alam Nur, (alam Tinggi Ketuhanan), Ruh insan suci bersih tanpa sebarang noda. Ia sentiasa menyaksikan Wajah Allah. Ertinya di alam Nur, sekalian ruh manusia sudah kenal Allah dan menjadi saksi bahawa Allah adalah Rabb (Tuhan) mereka.
Ketika Allah Ta'ala menjadikan sekalian Ruh manusia dan dihimpunkan di Alam Nur (alam Tinggi Ketuhanan), lalu Dia (Allah) bertanya kepada sekalian Ruh-Ruh : "Bukankah Aku Tuhan kamu", maka sekalian Ruh-Ruh itu menjawab serentak : " Bahkan, kami menjadi saksi atas demikian itu"
Firman Allah :
وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡۖ قَالُواْ بَلَىٰۛ شَهِدۡنَآۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Bahkan (Benarlah Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Qiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.
[Al-A'raf (7) : ayat 172]
Firman Allah ini mengandungi beberapa penegasan penting, bahkan antara yang TERPENTING di dalam memahami Matlamat Toriqat (Jalan Ma'rifat ).
(1) Di dalam ayat ini terkandung Pengisytiharan bahawa sekalian Ruh manusia telah bersyahadat akan Keesaan Allah, telah Ma'rifat kepada Allah, telah kenal Allah dengan sebenar kenal.
(2) Ruh-Ruh di alam Nur melihat Zat Allah tanpa sebarang hijab (pendinding / tirai / halangan ) apa pun.
(3) Ruh-Ruh di Alam Nur semuanya di dalam keadaan suci bersih.
(4) Ruh-Ruh terhijab (terdinding) dari melihat Wajah Allah apabila ianya masuk alam dunia disebabkan darah daging yang membalutinya. Kemudian bertambah hijabnya akibat dari dosa2 syirik , mazmumah dan dosa2 yang lain.
(5) Apabila insan itu membesar menjadi kanak2, meningkat menjadi remaja, kemudian meningkat dewasa, bermacam2 hijab lain timbul akibat dari pandangan, pergaulan, makanan, serta dosa2. Hatinya mula menjadi berpenyakit, keras, gelap dan akhirnya mati ; masing² berbeza2 bergantung kepada sejauh mana berlaku kelalaian, keengkaran atau kekufuran.
13.4 Anasir yang Menjadikan Insan kotor dan terhijab
Secara ringkas, Punca hati insan menjadi kotor sehigga terhijab (terdinding) dari Allah Ta'ala adalah sekurang2nya 5 perkara:
(1) Syirik khafi ( شِرْكٌ خَفِيٌ)
Iaitu syirik tersembunyi.
* takabbur — menyombong diri / besarkan diri
* riya' — menunjuk-nunjuk amal
* 'ujub — hairan dengan amal sendiri
* sum'ah — sebarkan amal tersembunyi untuk mendapat pujian
* tawakkal ila makhluq - bergantung hati kepada makhluq
(2) Mazmumah ( مذْمُومَه)
Iaitu sifat tercela @ sifat kekejian seperti khianat, dusta, hasad, tamak, bakhil, dendam, pemarah, jahat sangka, adu domba, fitnah, tajassus, cinta dunia, cinta pangkat, zalim dan banyak lagi
(3) Ma'siat ( مَعْصِيَة )
Ini adalah keengkaran2 lain secara umum yang mengakibatkan dosa besar dan dosa kecil.
(4) Ghaflah ( غَفْلَة)
Iaitu kelalaian hati dari mengingat Allah.
(5) Aghyar ( الاغيار )
Iaitu sekalian sesuatu selain Allah.
Kelima2 perkara yang tersebut di atas adalah punca utama mengapa hati insan menjadi kotor, berpenyakit, kelam, gelap, keras dan buta.
Jika hati itu dibiarkan dalam keadaan itu, maka akhirnya hati itu akan MATI. Wal Iyazubillah.
Huraian terperinci akan datang in shaa Allah,
bersambung siri 89 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
___________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
No comments:
Post a Comment