Monday, December 19, 2022

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 112)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.17  Dosa Besar ke -16:   Hubbud-dunya (  حُبُّ الدُّنْيَا  ) — cinta dunia:


Definisi :

Dari segi bahasa,  ungkapan "dunia"  ( الدُّنْيَا )  berasal dari akar kata  " da na a"  yang membawa maksud :  dekat, rendah, lemah, kurang.


Dari segi istilah, "dunia" adalah setiap sesuatu yang tidak membawa manfaat pada Akhirat atau perkara sia-sia yang menjatuhkan seseorang kepada kebinasaan dan Kemurkaan Allah.


Maka Hubbud-dunya  (  حُبُّ الدُّنْيَا  ) —  cinta dunia adalah bermaksud mencintai kelazatan dunia, mencintai segala kemewahan, kesenangan, keseronokan, pangkat, kedudukan, kuasa dan kemegahan sehingga jauh dari Rahmat Allah dan jatuh kepada Kemurkaan-Nya.


Penjelasan:


(1) Al-Qur'an dan Sunnah Rasul membahaskan "dunia" di dalam beberapa bentuk:

Dunia adalah tempat persinggahan. 

Dunia adalah tempat dugaan dan cobaan.

Dunia adalah tempat bercucuk tanam benih Akhirat.

Dunia adalah tempat mencari bekal pulang.

Dunia hanyalah tempat bermain2 serta kelalaian.

Dunia hanyalah perhiasan yang menipu daya.

Dunia hanyalah tempat bermegah2 dengan harta dan anak2.

Dunia dan seisinya dilaknat kecuali Zikrullah, orang Alim (Arif) dan muta'allim (penuntut / murid).

Mencintai Dunia membawa manusia kepada kesombongan 

Mencintai Dunia menjerumuskan kepada kekejian dan kefasikan. 

Mencintai Dunia mendorong manusia kepada kekafiran.


(2)  Umumnya dunia dan seisinya dilaknat kecuali sebahagian daripadanya yang membawa kepada menambahkan takut kepada Allah serta membawa kebaikan pada Hari Perhitungan.


(3) Cinta kepada dunia —  Hubbud-dunya  (    حُبُّ الدُّنْيَا   ),  bererti mencintai "Dunia" yang membawa kebinasaan kepada Iman, jauh dari Keredhaan Allah dan jatuh kepada Kemurkaan Allah. 


(4) Demikian besarnya nafsu manusia kepada "dunia" sehingga 1000 lembah emas sekalipun tidak memadai baginya — dia inginkan lebih banyak lagi.  Demikian rakusnya manusia sehingga mereka sanggup berbunuhan semata2 kerana merebut secebis "dunia yang hina".


(5) Menurut Ilmu Tasawwuf, " Dunia " adalah salah satu daripada 4 perkara yang membawa kebinasaan (afaat) kepada manusia — iaitu merosak Iman dan ibadahnya serta mengundang Kemurkaan Allah.


(6) Perkara2 yang terhitung ke dalam istilah "dunia yang menjerumuskan kepada kebinasaan" adalah :  

Harta kekayaan melimpah ruah, Wang ringgit bertimbun2, gedung2 perniagaan, kedudukan, pangkat, Kuasa, kemuliaan di mata manusia.   Perkara2 ini yang lazimnya menghambat manusia agar bertungkus lumus mencari, menikmati dan bermegah2 dengannya.   Maka kelakuan mencintai semua inilah dinamakan _hubbud-dunya_ yang membinasakan manusia.


(7) Cinta dunia menarik manusia kepada rangkaian dosa2 besar yang lain antaranya :

Menyebabkan seseorang lalai dari mengingat Allah.

Menyebabkan seseorang meninggalkan ibadah.

Menghilangkan khusyu di dalam solat

Menimbulkan berbagai sifat nifaq (kemunafikan) di dalam hati.

Menumbuhkan sifat bakhil

Menimbulkan permusuhan dan pertengkaran.

Mendorong kepada kemegahan dan kesombongan.

Mendorong kepada kezaliman dan pembunuhan.

Menyebabkan hati menjadi keras dan mati.

Wal Iyazubillah.


(8) Dipandang secara umum sememangnya dunia dan seisinya dilaknat, namun bukan semuanya dilaknat. Sebahagiannya adalah terpuji, iaitu bahagian dunia yang membawa "ingat kepada Allah (zikrullah)",  " yang dibelanjakan pada jalan Allah" dan " kebajikan yang diambil manfaatnya oleh manusia".

Dengan demikian, diperhalusi sesuai kehendak Agama,  "Dunia" terdiri dari dua bahagian yang bertentangan:

Pertama :  Bahagian Dunia yang terpuji, disanjung, diRedhai Allah

Kedua :      Bahagian Dunia yang dikeji, dikutuk,  dilaknat Allah


(9) Sebahagian dari "dunia yang terpuji" adalah :

Rumah kediaman yang selesa dan luas yang dimanfaatkan untuk Majlis Zikir, Majlis Ilmu dan Ibadah.

Kuda tunggangan (atau kenderaan lain sesuai dengan zaman) yang kuat dan pantas untuk da'wah dan  Jihad Fi Sabilillah

Wang ringgit yang banyak tetapi dibelanjakan pada Jalan Allah, sedekah fisabilillah, mendirikan Masjid, membangunkan rumah untuk musafir dan miskin2, membuat parit, tali air, perigi untuk kegunaan orang ramai.

Pangkat dan kedudukan yang dimanfaatkan bagi membantu manusia terutama yang miskin dan dhaif


(10) Tiga macam golongan menghadap dunia:

Pertama : Muslim yang meletakkan Dunia di hatinya.  Berlumba2 sedaya upaya mengejar kemewahan, kelazatan, pangkat, kemegahan, kedudukan dan perhiasan dunia.

Kedua :  Muslim yang meletakkan Dunia di tangannya, sedang akhirat diletak di dalam hatinya.

Ketiga :  Mu'min yang korbankan seluruh hidupnya untuk Allah dan Rasul-Nya.   Tiada sedikit pun kecendurungan hatinya untuk berpaling kepada dunia.

(akan datang penjelasan lanjut In shaa Allah)


Bersambung siri  113  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________  

MAJLIS TAZKIRAH JILANI    

     

No comments:

Post a Comment

 ■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 522) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...