Sunday, November 06, 2022

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 61)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.9  Dosa Besar ke-8:  Rasa Aman Dari Kemurkaan Allah

sambungan...


Ketiga:

Hendaklah waspada pada setiap perbuatan, perkataan dan lintasan di dalam hati — Jangan sesekali meremehkan apa jua dosa dengan anggapan ianya dosa kecil. Memandang enteng sebuah dosa merupakan dosa besar. 


Rasulullah ﷺ bersabda :

عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ فَقَالَ بِهِ هَكَذَا (رواه البخاري)

“Sesungguhnya seorang mu'min (ketika) dia melihat dosa-dosanya, adalah bagaikan dia duduk di lereng sebuah gunung, dan dia sangat bimbang gunung itu akan menimpanya. Sedangkan seorang fajir (ahli ma'siat), ketika dia melihat dosa-dosanya adalah seperti ia melihat seekor lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya seperti ini lalu terbang.

[Imam Bukhari]


Kata Imam Ghazali: 

Setiap dosa yang dinilai besar oleh pelakunya, lalu disertai dengan penyesalan sesudahnya secara mendalam, maka dosa itu menjadi kecil pada pandangan Allah. Sebaliknya, jika dia menganggap remeh suatu dosa, hal itu dapat menjadi besar pada padangan Allah. Dosa itu menjadi besar disebabkan oleh kerana hati pelakunya tidak menolak dan tidak membencinya.'

[Ihya Ulumuddin]


Keempat :

Hendaklah sentiasa takut kepada Ujian dan dugaan Allah yang datang dari berbagai arah dan bentuk. Jangan sesekali rasa aman dari dugaan Allah Ta'ala:


Rasulullah ﷺ bersabda :

اَللَّهُمَّ اقْسِمْ لَنَا مِنْ خَشْيَتِكَ مَاتَحُوْلُ بَيْنَنَا وَبَيْنَ مَعْصِيَتِكَ وَمِنْ طَاعَتِكَ مَا تُبَلِّغُنَابِهِ جَنَّتَكَ وَمِنَ الْيَقِيْنِ مَاتُهَوِّنُ بِهِ عَلَيْنَا مَصَائِبَ الدُّنْيَا

“Ya Allah, Anugerahkan kepada kami rasa takut kepada-Mu yang membatasi antara kami dengan perbuatan maksiat kepadamu dan Kurniakanlah kami keta'atan (taufiq untuk melakukan keta'atan)  yang dapat menghantarkan kami ke Syurga-Mu dan Anugerahkanlah kami keyakinan (Tauhid yang teguh) sehingga menjadi ringan bagi kami segala musibah di dunia ini.”

[Imam At-Tirmizi, Imam An-Nasai]


Berkata Imam Ibnu Hajar Al-Haythami: 

"Dikisahkan apabila Iblis mendapat ujian, Jibril dan Mikail menangis.  Allah Berfirman : "Apa yang menyebabkan kamu menangis?" Keduanya menjawab : "Kami tidak akan selamat dari ujian-Mu"  Allah Ta'ala Berfirman : " Begitulah kamu berdua tidak akan selamat dari Ujian-Ku"

[Az-Zawaajir]


Kelima:

Lazimkan diri amal dengan doa "Tetap Iman" yang Rasulullah ﷺ ajarkan, bahkan Baginda insan paling Agung juga menjadi contoh unggul amalkan doa ini sampai akhir hayat Baginda. 


Hadith Rasulullah ﷺ :

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ.

(Berkata Sayyidina Anas Radhiallahu anhu) :  Adalah Rasulullah ﷺ selalu mengucapkan:  

 “يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِك”  

(Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas Agama-Mu). Kemudian aku (Anas) pun bertanya: "Wahai Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, lalu apakah engkau masih bimbang kepada kami?" 

Baginda menjawab: "Ya, kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua jari Allah yang Dia bolak-balikkan menurut yang dikehendaki-Nya."

[Imam At-Tirmizi, Imam Al-Baihaqi, Imam Imam Ahmad]


Berkata Imam Ibn Hajar Al-Haythami Radhiallahu anhu:

"Adapun pengertian "di antara dua jari" sebagaimana tersebut di dalam Hadith adalah dua seruan menuju dua perkara yang saling bertentangan. (dua seruan yang bertentangan di dalam hati iaitu Keimanan dan Kekufuran).

[Az-Zawajir]


Perhatikanlah dari hati yang dalam :

Rasulullah ﷺ sendiri lazimkan doa mohon pertolongan Allah Ta'ala agar ditetapkan hati dalam Iman dan jauh daripada segala kekufuran sedangkan Baginda adalah Insan Pilihan Teragung yang dijamin oleh Allah.  Apa lagi manusia2 kerdil seperti kita yang sentiasa bergelumang dengan berbagai dosa dan kekejian.  Adakah kita insan kerdil merasa aman dari "Makar" Allah Ta'ala?


Jangan!


Jangan sesekali tunjuk berani dengan dosa2,  walau sekecil mana pun dosa.  Jangan rasa aman dan hebat kerana harta, kekayaan, pangkat kedudukan yang kita miliki di atas muka bumi. Bahkan jangan rasa hebat disebabkan amal yang banyak sekalipun.  Sebaliknya sentiasa rasakan diri lemah, dhaif dan kekurangan diri.  Di sisi lain tetap harapkan Rahmat Allah Ta'ala bahawa Dia  pasti menolong hamba2-Nya yang lemah, dhaif dan sentiasa mengharap Rahmat-Nya. 


Moga Allah Ta'ala tetapkan hati kita di dalam Keimanan dan Tauhid yang teguh sampai akhir nafas.


Bersambung siri  62   اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________  

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

      

No comments:

Post a Comment

 ■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 522) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...